Bangunkan Teknologi Kuasa

Mukhriz Mahathir (kanan) dan Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain (tiga dari kanan) melawat pameran produk semikonduktor selepas majlis pengumuman pakatan kerjasama antara MIMOS dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. dalam industri pembuatan PowerMOS.

ORGANISASI peneraju industri teknologi maklumat (ICT) negara, MIMOS Berhad sentiasa meneroka dan mencari peluang pakatan strategik bersama pihak industri yang berpotensi tinggi.

Merancakkan usaha tersebut, MIMOS baru-baru ini telah menjalin kerjasama pintar dengan syarikat pengeluar wafer semikonduktor, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra) untuk menghasilkan produk cip Litar Integrasi Pengurusan Kuasa (PowerMOS).

Secara asasnya, pakatan operasi pembuatan fabrikasi wafer itu dilihat mampu memacu sinergi industri berkenaan ke peringkat lebih baik menerusi penggunaan sumber dalam negara secara optimum.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah, pihaknya sentiasa menyokong usaha kajian dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat tempatan yang mahu menjadikan produk keluaran mereka mencapai standard dan kualiti terbaik.

"Justeru, melalui kerjasama dengan Silterra ini, kita mahu membina keupayaan dan kemahiran tempatan untuk membangunkan produk PowerMOS bagi memenuhi permintaan pasaran global.

"Sesuai dengan matlamat MIMOS ingin mencipta pasaran menggunakan kapasiti nasional, ia bakal melengkapkan rantaian nilai dalam teknologi pembuatan semikonduktor.

"Kelebihan lainnya, pakatan ini turut berupaya mengurangkan kos pembuatan serta kos mengimport,'' katanya pada majlis pengumuman kerjasama berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Dalam ucapannya, Mukhriz menyokong usaha seumpama itu kerana ia merealisasikan matlamat kerajaan mahu memacu pertumbuhan dan merancakkan persaingan dalam bidang pengurusan kuasa serta penggunaan tenaga secara efisien.

"Ia juga secara tidak langsung akan dapat mencipta peluang kerjaya berpendapatan tinggi di kalangan rakyat,'' katanya.

Melalui kerjasama tersebut, MIMOS dan Silterra bakal melengkapkan operasi pembuatan semikonduktor bersama pihak-pihak seperti institusi penyelidikan, universiti tempatan dan industri kecil (SME) yang membangunkan produk berkenaan.

Di samping itu, MIMOS akan turut memberi sokongan daripada segi latihan, penyelidikan, pengujian dan pembangunan secara lebih fleksibel.

Produk wafer semikonduktor biasanya digunakan dalam pembangunan produk elektronik, seperti suis, alat pembekal kuasa dan motor kawalan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Silterra Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain berharap dana yang diperoleh daripada MIMOS itu akan dapat memberi impak yang cukup baik dalam perkembangan bisnes Silterra di peringkat global.

"Usaha ini akan melibatkan pemindahan teknologi, reka bentuk, dan sokongan pembangunan operasi secara asas untuk pembuatan produk semikondutor,'' jelasnya.

Ketika ini, produk-produk semikonduktor Silterra mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Taiwan, Korea dan China.

Sumber

No Response to "Bangunkan Teknologi Kuasa"

Post a Comment

Nyatakan pandangan anda

 

Siapa Kami?

Kami adalah pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau Malaysia.

Statistik Pengunjung

Mixing

Hubungi Kami

Sebarang pertanyaan sila hubungi kami melalui:

Email: gegarks@gmail.com

Telefon:

Hakcipta © 2012 Gegar KS Lestari . Semua Hakcipta Terpelihara.
Blog PISMP PS JAN'11