Keperluan Tenaga Negara Meningkat Dua Kali Ganda Menjelang 2030


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Bekalan tenaga yang diperlukan negara dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa, keperluan tenaga seperti minyak, gas asli, arang batu, nuklear, hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui dijangka meningkat pada kadar 3.4 peratus setiap tahun.

“Menjelang 2030 jumlah tenaga yang diperlukan negara adalah dua kali ganda daripada yang digunakan pada 2010 iaitu bersamaan dengan bekalan 92.9 juta tan minyak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Tenaga Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Loo Took Gee; Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan dan Bekas Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa, Nobua Tanaka.

Sehubungan itu beliau menjelaskan, negara kini berdepan cabaran besar dalam pengurusan sumber tenaga bagi menampung pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak menjelang 2020.

“Rizab minyak dan gas negara kini turut menyusut dan pengeluaran telah menurun pada kadar kira-kira dua peratus setiap tahun,” katanya.

Fah Kui berkata, walaupun negara mempunyai sumber minyak dan gas asli untuk menampung pembangunan, kebanyakan daripada sumber itu telah dibangun dan berada di peringkat hadapan pengeluaran.

Keadaan itu katanya, menyebabkan Malaysia kini semakin bergantung pada bekalan gas import untuk memenuhi permintaan.

“Lebih 30 peratus daripada bekalan gas asli yang disalurkan di Semenanjung Malaysia adalah bekalan import dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Jumlah penggunaan gas di Semenanjung Malaysia kini meningkat sebanyak 13 peratus sejak sedekad lalu,” katanya.

Beliau berkata, dalam ketidaktentuan sumber tenaga di peringkat global, isu keselamatan tenaga kini menjadi isu utama negara-negara di seluruh dunia.

Sumber

Topeng Cas Telefon Bimbit

Contoh topeng AIRE (gambar bawah) dan seorang model menggunakan topeng tersebut semasa tidur (gambar atas). - agensi

LONDON 12 Mac - Topeng muka yang sebelum ini digunakan untuk menapis udara tercemar kini mampu mengecas telefon bimbit.

Seorang pencipta, Joco Paulo Lammoglia berjaya mencipta sejenis peralatan pintar dengan mengubah udara yang terhasil daripada paru-paru manusia kepada tenaga, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna telefon bimbit yang sebelum ini bergantung kepada tenaga elektrik.

Gajet yang diberi nama topeng AIRE itu, sebenarnya mengandungi turbin angin kecil, dan tenaga yang terhasil daripadanya dipindahkan melalui kabel ke peralatan elektronik pengguna.

Menurut pencipta yang berasal dari Rio de Janeiro, Brazil itu, topeng AIRE boleh digunakan dalam sebarang situasi sama ada semasa berlari mahu pun tidur.

''Ia boleh digunakan untuk aktiviti di dalam, mahu pun di luar sama ada ketika kita tidur, berjalan, berlari hatta membaca buku sekali pun.

''Selain menjimatkan tenaga, ia mampu membantu memelihara alam sekitar dan menggalakkan aktiviti bersenam.

''Tenaga yang terhasil daripada alat itu juga boleh didapati setiap 24 jam dan tujuh hari seminggu,''katanya.

Lammoglia berkata, walaupun kebanyakan gajet moden pada masa ini menawarkan banyak kemudahan kepada pengguna, namun ia masih terlalu bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik yang banyak.

''Justeru, dengan memanfaatkan tenaga yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti manusia dan menukarnya kepada tenaga elektrik adalah tidak mustahil, maka, ia merupakan penyelesaian yang baik (daripada terlalu bergantung kepada tenaga elektrik),'' katanya. - AGENSI

Sumber

Pembukaan Loji Nuklear Dibantah


TOKYO 12 Mac - Sekumpulan penduduk Jepun hari ini memfailkan tuntutan saman bagi menghalang loji nuklear Fukushima beroperasi semula, sehari selepas ulang tahun pertama kejadian tsunami yang mencetuskan krisis nuklear di wilayah itu.

Kumpulan terdiri daripada 259 penduduk itu mengemukakan tuntutan di Mahkamah Daerah Osaka, memerintahkan pembukaan semula kemudahan loji nuklear Kansai Electric Unit 3 dan 4, terletak di Oi, bahagian tengah Fukui dihalang.

Semalam, beribu-ribu penduduk berhimpun dekat loji Fukushima, meminta loji nuklear itu ditutup selepas gempa bumi dan tsunami yang berlaku setahun lalu menyebabkan kebocoran nuklear di loji itu.

Tsunami berukuran 9 pada skala Richter itu menenggelamkan sistem penyejukan loji tersebut dan menyebabkan tiga reaktor lebur, sehingga meruahkan radiasi ke kawasan berdekatan.

Seorang anggota kumpulan yang mengemukakan tuntutan itu, Kiyoko Shimada berkata, rancangan membuka semula reaktor Oi masih terlalu awal.

"Reaktor ini dikatakan yang pertama di Jepun dibuka selepas kejadian Fukushima, namun masih banyak perkara sampingan yang tidak mereka fikirkan, ia masih terlalu awal," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan Jepun dilaporkan bercadang meluluskan operasi semula loji Oi seawal bulan ini.

Kyodo News melaporkan, Perdana Menteri Yoshihiko Noda memberi jaminan semalam akan berusaha mendapatkan kelulusan tempatan sebelum memulakan operasi reaktor nuklear, satu tindakan yang dianggap perlu bagi mengelak berlakunya gangguan di seluruh Jepun.

Kansai Electric dalam kenyataan pula berkata, walaupun pihaknya enggan mengulas mengenai tuntutan tersebut, namun mereka telah mengambil kira pelbagai sudut dalam memastikan operasi semula reaktor nuklear itu selamat. - AFP

Bangunkan Teknologi Kuasa

Mukhriz Mahathir (kanan) dan Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain (tiga dari kanan) melawat pameran produk semikonduktor selepas majlis pengumuman pakatan kerjasama antara MIMOS dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. dalam industri pembuatan PowerMOS.

ORGANISASI peneraju industri teknologi maklumat (ICT) negara, MIMOS Berhad sentiasa meneroka dan mencari peluang pakatan strategik bersama pihak industri yang berpotensi tinggi.

Merancakkan usaha tersebut, MIMOS baru-baru ini telah menjalin kerjasama pintar dengan syarikat pengeluar wafer semikonduktor, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra) untuk menghasilkan produk cip Litar Integrasi Pengurusan Kuasa (PowerMOS).

Secara asasnya, pakatan operasi pembuatan fabrikasi wafer itu dilihat mampu memacu sinergi industri berkenaan ke peringkat lebih baik menerusi penggunaan sumber dalam negara secara optimum.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah, pihaknya sentiasa menyokong usaha kajian dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat tempatan yang mahu menjadikan produk keluaran mereka mencapai standard dan kualiti terbaik.

"Justeru, melalui kerjasama dengan Silterra ini, kita mahu membina keupayaan dan kemahiran tempatan untuk membangunkan produk PowerMOS bagi memenuhi permintaan pasaran global.

"Sesuai dengan matlamat MIMOS ingin mencipta pasaran menggunakan kapasiti nasional, ia bakal melengkapkan rantaian nilai dalam teknologi pembuatan semikonduktor.

"Kelebihan lainnya, pakatan ini turut berupaya mengurangkan kos pembuatan serta kos mengimport,'' katanya pada majlis pengumuman kerjasama berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Dalam ucapannya, Mukhriz menyokong usaha seumpama itu kerana ia merealisasikan matlamat kerajaan mahu memacu pertumbuhan dan merancakkan persaingan dalam bidang pengurusan kuasa serta penggunaan tenaga secara efisien.

"Ia juga secara tidak langsung akan dapat mencipta peluang kerjaya berpendapatan tinggi di kalangan rakyat,'' katanya.

Melalui kerjasama tersebut, MIMOS dan Silterra bakal melengkapkan operasi pembuatan semikonduktor bersama pihak-pihak seperti institusi penyelidikan, universiti tempatan dan industri kecil (SME) yang membangunkan produk berkenaan.

Di samping itu, MIMOS akan turut memberi sokongan daripada segi latihan, penyelidikan, pengujian dan pembangunan secara lebih fleksibel.

Produk wafer semikonduktor biasanya digunakan dalam pembangunan produk elektronik, seperti suis, alat pembekal kuasa dan motor kawalan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Silterra Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain berharap dana yang diperoleh daripada MIMOS itu akan dapat memberi impak yang cukup baik dalam perkembangan bisnes Silterra di peringkat global.

"Usaha ini akan melibatkan pemindahan teknologi, reka bentuk, dan sokongan pembangunan operasi secara asas untuk pembuatan produk semikondutor,'' jelasnya.

Ketika ini, produk-produk semikonduktor Silterra mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Taiwan, Korea dan China.

Sumber

Kesan Pembangunan Tanah Ke atas Alam Sekitar




Pertanian

Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain daripada mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia

Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.

Pembangunan pertanian menyokong US$30 bilion nilai jualan racun makhluk perosak setiap tahun diseluruh dunia. Kira-kira 40% daripada jumlah ini dibelanjakan di negara membangun untuk sebatian toksik seperti DDT, orgonofosfat dan organoklorin.

Menurut Repetto dan Baliga (1996), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang paling intensif di Asia. Jumlah racun makhluk perosak yang digunakan bagi setiap hekter tanaman untuk tahun 1992 dilaporkan 9.2 kilogram/hektar iaitu hampir sepuluh kali ganda jumlah yang digunakan di Thailand untuk tempoh yang sama.

Selain menimbulkan masalah pencemaran air akibat penggunaan secara intensif ini, rakyat Malaysia yang menggunakan penyembor serta operator mesin penyembur racun makhluk perosak akan menghadapi risiko akibat pendedahan terutamanya melalui kulit, apabila menggunakan peralatan yang tidak sempurna untuk mencampurkan atau menyembur racun makhluk perosak.

Perlombongan

Kekayaan ekonomi boleh dicapai dari pembangunan industri perlombongan dengan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar, tidak lebih daripada bentuk pembangunan lain. Kebanyakan operasi perlombongan menjalankan penilaian kesan alam sekitar.

Satu dasar berkaitan dengan galian telah pun dirangka untuk mengambil kira faktor alam sekitar melaui penggunaan bon prestasi dan langkah fisikal lain. Bagaimanapun, perlombongan skala kecil dan operasi kuari perlu diperbaiki segera terhadap pengurusan alam sekitar mereka.

Penyelidikan menunjukkan lombong emas skala kecil boleh mengganggu dengan tetap sumber air semula jadi, menyebabkan masalah pemendapan teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Tambahan pula, operasi perlombongan pasir di dataran serta tebusguna tanah dan lain-lain pembangunan di sepanjang pantai meningkatkan ancaman kepada ekologi marin. Terutamanya terumbu karang, hutan bakau dan rumput laut sepanjang pantai yang menjadi sumber perikanan.

Pengembangan kawasan perbandaran dan pembangunan industri secara langsung telah menyebabkan perubahan yang besar kepada ekosistem semula jadi berbanding dengan pembangunan hutan, perlombongan atau pertanian.

Isu alam sekitar berkaitan dengan perbandaran dan pembangunan industri, adalah lebih kompleks dan sering lebih sukar untuk ditangani, Ini termasuklah sisa buangan dan pembetungan, pemuliharan kawasan hijau di dalam perbandaran, maslah haba perbandaran serta pencemaran air dan udara.

Sisa buangan/pembentungan

Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan di Malaysia untuk memperbaiki pengurusannya. Bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan berkaitan dengan kesan alam sekitar daripada kemudahan ini. Di antaranya ialah kemungkinan pencemaran air bawah tanah di kawasan tapak pembuangan sampah lama majlis perbandaran dengan bahagian permukaan yang tidak sesuai serta pencemaran air sungai akibat pembuangan sisa kumbahan daripada penempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.

Ketiadaan dasar untuk mewajibkan kitar semula dan kekurangan insentif untuk menggalakkan penggunaan semula melemahkan usaha majlis perbandaran untuk mengurangkan sisa buangan. Akibatnya beberapa kawasan pembuangan sampah secara terbuka akan meningkat dengan cepat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah mungkn juga akan meningkat.

Pembuangan industri telah menjadikan masalah toksik dan sisa buangan bahaya lebih teruk lagi. Masalah ini dan kesannya yang menjejaskan kesihatan manusia hanya dikenal pasti sejak awal 1990an. Masalah ini termasuklah pencemaran logam berat, nitrogen dan sulfur oksida, hidrokarbon petrolium, bahan partikel, polychlorinated, biphenyls (PCBs), sianida dan arsenik.

Pencemaran tanah dan air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu dijelaskan dan diklasifikasikan dengan cara yang lebih sistematik di Malaysia. Dalam usaha untuk mengadakan kawalan sisa bahaya dan toksik yang berkesan, industri seharusnya diwajibkan menyimpan rekod jenis dan jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh mereka serta tarikh dan cara ia dilupuskan. Oleh kerana pembuangan sisa ini menelan belanja yang tinggi, memerlukan kemudahan khas dan kontraktor serta kontraktor kecil mereka seharusnya berhati-hati kerana insentif untuk menipu amat banyak.

Aktiviti lain

Keadaan suhu pada umumnya lebih tinggi di kawasan bandar kerana haba yang dikeluarkan oleh perumahan, pengangkutan dan industri serta termal dari bangunan dan jalan. Suhu pada waktu malam di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur di dapati meningkat kira-kira 4 darjah F antara 1972 dan 1980 akibat peningkatan jumlah lalu-lintas.

Suhu pada waktu malam juga berubah dalam 3-4 darjah juga direkodkan di kawasan perumahan. Kawasan perumahan lama dengan lebih banyak kawasan hijau dan pertumbuhan pokok didapati suhunya lebih sederhana berbanding dengan kawasan perumahan baru. Oleh sebab itu kepupusan kawasan hujau di bandar mestilah dihentikan segera.

Keperluan semasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1970 (Semakan 1995) untuk mengekalkan semua pokok dengan lilitan melebihi 80 cm dalam sebarang perojek pembangunan mungkin boleh menyumbangkan kepada keadaan kecil terhadap pemuliharaan kawasan hijau di bandar dan kawalan terhadap suhu di kawasan bandar.

Pencemaan udara di kawasan bandar merupakan salah satu contoh di Malaysia di mana ia telah melebihi paras kritikal dan dengan itu menjejaskan potensi pembersihan sendiri alam sekitar. Sumber utama pencemaran udara di Lembah Klang ialah kenderaan bermotor yang menyumbangkan kepada partikel karbon (PM-10). Sumber lain termasuklah pembuangan industri dan aktiviti pembinaan (JAS, 1993)

Perbandaran juga mempengaruhi paras jumlah partikel terampai (TSP) dalam udara (JAS, 1993). Selain sumber daripada luar sempadan dalam tempoh tertentu setiap tahun, sumber utama TSP ialah pembakaran secara terbuka daripada pembangunan perumahan dan pertanian. Pencemaran udara di Lembah Klang tidak akan diperbaiki melainkan langkah-langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.

Sumber

Langkah-langkah Bersepadu Penyelesaian Isu Alam Sekitar


Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi . Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia . Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat.


Pencemaran yang melibatkan beberapa negara seperti pencemaran perairan pantai dan pencemaran udara yang disebabkan oleh jerebu memerlukan penglibatan yang aktif dari negara-negara yang terbabit untuk mendapatkan penyelesaian bersama .

Pencemaran Laut


Malaysia dikelilingi oleh laut di mana terdapat pelbagai aktiviti seperti carigali minyak dan pengangkutan air . Justeru itu Malaysia juga adalah terdedah kepada risiko tumpahan minyak yang besar . Perangkaan menunjukkan bahawa lebih dari 165 pelantar minyak telah menjalankan usaha carigali dan aktiviti pengeluaran di perairan Laut Cina Selatan dan Selat Melaka pula adalah laluan perkapalan yang antaranya paling tersibuk di dunia . Dalam tahun 1995 terdapat lebih kurang 30251 buah kapal yang telah melalui Selat Melaka yang mana hampir 30% adalah merupakan kapal-kapal tangki. (Sumber : Perangkaan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia )

Kini, laut semakin terancam oleh aktiviti manusia yang ghairah mengejar materialistik tanpa menghiraukan implikasi kepada alam sekitar . Pencemaran di Asia Tenggara adalah berpunca daripada pelbagai faktor . Kepelbagaian faktor ini menyebabkan kualiti dan kuantiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada satu vaksin yang mujarap untuk memulihkannya . Lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan . (Persatuan Pencinta Alam, Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia, Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55)

Langkah dan kerjasama yang diambil oleh negara-negara berpantai di rantau Asia Tenggara .
Terdapat tiga buah negara yang saling berkongsi perairan iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand . Ketiga-tiga negara ini saling terlibat dalam kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama . Malaysia dan Indonesia telah bekerjasama dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan Selat Melaka di bawah kedaulatan kedua-dua negara . Walaupun isu Selat Melaka bersifat rumit namun ia tidak pernah menghalang negara-negara berpantai untuk prihatin terhadapnya .

Kejadian yang berlaku pada 6 Januari 1967, telah memaksa negara-negara yang berpantai untuk mengambil satu tindakan yang positif terhadap kejadian tersebut . Di dalam tahun tersebut kapal tangki minyak Jepun yang dikenali sebagai Torry Canyon yang telah didaftarkan di Liberia telah terlibat dalam perlanggaran . Akibatnya berlaku pertumpahan minyak yang mana memerlukan kos yang tinggi untuk membersihkannya . Jumlah kos yang diperlukan pada ketika itu ialah 16 juta dollar .

Buat masa ini Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN mereka telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif bagi kerjasama serantau ini membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak ynag tertumpah di perairan Malaysia .

Selain dari Malaysia, negara-negara berpantai yang lain seperti Singapura turut mewujudkan beberapa badan tertentu untuk mengatasi masalah ini . Kesemua badan-badan yang ditubuhkan ini terletak di bawah satu pentadbiran pelabuhan Singapura atau dikenali sebagai Port of Singapore (PSA) . Syarikat-syarikat minyak juga prihatin dengan isu ini . Mereka telah bergabung untuk membentuk Tierred Area Response Capability (TARC) . Pertubuhan ini dibentuk pada tahun 1986 dan dianggotai oleh Syarikat Minyak ESSO, Caltex dan Mobile . Organisasi ini mempunyai pelbagai kelengkapan yang canggih dan terkini yang dapat digunakan dalam kerja-kerja pengawalan dan pembersihan kawasan tumpahan minyak .

Pada tahun 1992, singapura telah mencadangkan penubuhan satu badan khas untuk mengatasimasalah tumpahan minyak . East Asia Response Limited (EARL) akhirnya telah terbentuk dan ia dianggotai oleh lima syarikat minyak terkemuka . Syarikat-syarikat itu ialah ESSO, Petronas, Caltex, Mobile dan Shell . Pertubuhan ini berbeza dari pertubuhan yang lain kerana peranannya yang luas dan tidak terhad di kawasan perairan Malaysia dan Singapura sahaja tetapi meliputi rantau Asia Pasifik termasuk Jepun dan Australia .

Apabila berlakunya kejadian tumpahan minyak, langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengawal tumpahan minyak daripada merebak ke kawasan lain . Tumpahan minyak akan cepat merebak melalui tiupan angin dan pengaliran arus air yang deras . Terdapat empat cara yang digunakan untuk mengawal tumpahan minyak iaitu :

Cara mengepung dan mengumpul tumpahan
1. Menggunakan dispersent dan bahan kimia
2. Pembersihan pantai
3. Dibiarkan sahaja

Selain daripada itu, terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil dalam mengawal tumpahan minyak daripada merebak . Antaranya ialah :

i. Lokasi tumpahan
ii. Kuantiti tumpahan
iii. Jenis tumpahan
iv. Keadaan laut
v. Keupayaan tindakbalas bahan yang tertumpah

Apabila berlaku kejadian tumpahan minyak, pihak yang bertanggungjawab akan menjalankan operasi pembersihan minyak secara berperingkat-peringkat iaitu peringkat tempatan, peringkat kawasan dan peringkat wilayah .

Operasi peringkat wilayah berjalan apabila tumpahan minyak yang berlaku adalah yang terbesar, melibatkan kawasan yang luas dan jumlah tumpahan yang banyak. Ia dilakukan apabila jumlah peralatan, tenaga dan sumber dari negara ini tidak mencukupi dan melibatkan bantuan daripada negara lain . Di antara alternatif daripada kerjasama peringkat wilayah ini ialah :

1. Rancangan Kontigen Lombok - Makasar
2. Standard Operating Prosedure for Straits of Malacca and the Straits of Singapore
3. Standard Operating Prosedure for Malaysia and Brunei Darussalam
4. ASEAN - Oil Spill Response Action Plan (ASEAN - OSRAP)

Seterusnya terdapat juga objektif bagi mewujudkan kawalan tumpahan minyak. Antara objektifnya ialah :

i. Untuk mengadakan satu sistem tindak balas serta-merta yang diselaraskan bagi menghadapi tumpahan minyak.
ii. Untuk meningkatkan kemampuan dan sumber-sumber yang ada dari segi peralatan serta latihan kakitangan bagi menghadapi kejadian tumpahan minyak.
iii. Untuk mengelakkan kesan buruk ke atas persekitaran dengan cara mengawal aliran minyak.

Terdapat juga langkah-langkah lain yang dilakukan untuk mengurangkan dan mengelak berlakunya kemalangan kapal di Selat Melaka dan Selat Singapura. Negara-negara berpantai merasakan amat perlu bagi mereka untuk mengawal keselamatan lalu lintas di kedua-dua selat tersebut. Oleh itu, mereka telah menyarankan agar Trafic Separation Scheme (TSS) atau Skim Lalu Lintas diwujudkan memandangkan di Eropah telah lama menggunakan kaedah ini iaitu sejak pertengahan abad ke-19. Perlaksanaan TSS adalah didorong oleh kejayaan skim yang serupa di Eropah. Cadangan untuk mengadakan skim ini di Eropah bermula pada tahun 1857 iaitu di England. Cadangan ini dibuat ekoran dari tragedi perlanggaran kapal milik Amerika dan Perancis yang mengorbankan seramai 3000 orang.

Beberapa saranan juga telah dibuat bagi menjaga supaya pencemaran tidak berlaku secara berleluasa. Antaranya ialah :

1. Masalah pencemaran Selat Melaka harus dikaji dengan lebih mendalam dan tindakan yang bersesuaian harus segera diambil.
2. Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 haruslah digunakan setakat yang diperlukan dan mengenakan denda yang lebih tinggi kepada mereka yang mencemar laut dan pantai.
3. Majlis peringkat tertinggi dianggotai oleh kalangan negara-negara berpantai yang berkongsi perairan Selat 4. Melaka harus ditubuhkan untuk meneliti perkara ini dan mencari jalan penyelesaiannya.
semua pengguna Selat Melaka diwajibkan membayar levi atau tol.
5. Dengan wujudnya pelbagai saranan, akta, skim dan pertubuhan diharapkan masalah pencemaran akan dapat dikurangkan bagi memelihara perairan negara kita. Di Malaysia berbagai pihak terbabit dalam penguasaan pencemaran seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Marin, Jabatan Laut, TLDM dan PDRM yang diperwakilkan kuasa menyiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Walaupun begitu, Jabatan Alam Sekitar adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguatkan akta tersebut dengan dibantu oleh agensi-agensi maritim yang lain.

Pencemaran Udara

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan moden telah banyak membawa perubahan dan kebaikkan pada taraf kehidupan masyarakat Malaysia. Sistem jalanraya yang baik, kemudahan sistem penerbangan yang cemerlang, dan adanya pelabuhan yang bertaraf antarabangsa sememangnya telah dapat membawa negara dan rakyat ke era kemajuan dan pemodenan. Kini setelah Malaysia merdeka, boleh dikatakan 90%-95% kawasan desa yang jauh dari bandar dan kota telah dapat menikmati kemudahan jalan raya yang telah mengubah keadaan dan rezeki penduduk desa. Walaubagaimanapun, perubahan dan kebaikan ini tidak mungkin berlaku tanpa membebankan alam sekitar. Lazimnya, setiap perbuatan dan perubahan itu membawa bersamanya kebaikan dan keburukan.

Kesan negatif yang disebabkan oleh sistem pengangkutan merupakan faktor terbesar yang menyebabkan pencemaran udara. Dianggarkan setiap tahun, lebih kurang 13.6 juta tan gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan kenderaan merosakkan kawasan hutan, tasik dan kehidupan laut. Gas beracun ini juga turut menambahkan kesan rumah hijau serta membahayakan kesihatan manusia sejagat.

Ahli sains telah membuktikan bahawa pengangkutan secara keseluruhan menghasilkan 64% gas Nitrogen Oksida (unsur utama yang menyebabkan terjadinya hujan asid), 42% Hidrokarbon, 66% Karbon Monoksida, 32% Plumbum, 30% Karbon Dioksida, 74% Benzena (merupakan bahan beracun), serta Toluena, Xilena, dan Etilena yang tidak diketahui jumlah peratusannya.

Sekiranya dikaji jenis sistem pengangkutan (pengangkutan darat, laut dan udara) maka jelaslah bahawa kenderaan bermotor seperti kereta, lori, motorsikal dan bas merupakan punca utama pencemaran berbanding dengan kapal laut dan kapal terbang. Analisis yang dibuat di Switzerland menunjukkan sistem pengangkutan darat, kecuali kereta api, menggunakan sebanyak tiga kali ganda keluasan tanah. Ini melibatkan penggunaan tenaga sebanyak 3.5 kali ganda bagi kereta dan 8.7 kali ganda bagi lori dan trak yang menghasilkan 9 kali ganda pencemaran. Sekiranya analisis yang dibuat di Malaysia, berkemungkinan statistik yang sama akan di dapati dan barang kali juga lebih tinggi daripada hasil kajian di Switzerland memandangkan kepada pertambahan penggunaan kenderaan bermotor ( terutamanya kereta ) di Malaysia akhir-akhir ini.

Langkah Penyelesaian


Bahaya pencemaran akibat penggunaan kenderaan bermotor telah lama diberi perhatian serius oleh negara-negara maju. Di Amerika misalnya, satu Akta Udara Bersih (Clean Air Act) telah diwujudkan untuk mengurangkan penghasilan Hidro Karbon, Karbon Monoksida dan oksida-oksida Nitrogen tertentu.

Pengurangan ini dilakukan dengan cara mewajibkan penggunaan penukar bermangkin ( Catalytic Converters) dalam industri pembuatan kenderaan bermotor. Penukar bermangkin dua hala (Two -way Catalytic Converters) boleh mengurangkan hingga 98% unsur-unsur pencemaran dengan cara menukarkan Hidro Karbon dan Karbon Monoksida kepada Karbon Dioksida dan Wap. Penukar bermangkin tiga hala (three- way Catalytic Converters) pula boleh mengoksidakan oksida-ksida Nitrogen tertentu, tanpa mengurangkan kecekapan enjin atau menambahkan penggunaan minyak kenderaan bermotor.

Kesan Plumbum terhadap kesihatan juga boleh dielakkan sekiranya kita menggunakan minyak tanpa plumbum (unleaded). Tindakan tegas kerajaan Malaysia adalah perlu untuk mengurangkan penggunaan dan penjualan minyak berplumbum demi menjamin kesihatan masyarakat umum, terutamanya penghuni kota.

Mencari alternatif selain daripada minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa bahan-bahan yang mengandungi kandungan oktana yang tinggi tidak menghasilkan plumbum dan boleh mengurangkan sehingga 90% pengeluaran Karbon Monoksida dan Hidrokarbon . Kecekapan enjin juga meningkat daripada 6% kepada 15% apabila menggunakan bahan-bahan ini sebagai bahan pembakar.

Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telah pun menemui sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada ia praktikal atau pun tidak, ia patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembanguna berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.

Di negara-negara barat, penggunaan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik juga sedang dikaji secara giat. Kenderaan jenis ini tidak menghasilkan pencemaran bunyi dan udara. Namun demikian, tenaga elektrik adalah mahal dan kesannya terhadap alam sekitar mungkin bergantung kepada cara tenaga elektrik tersebut dihasilkan.

Kenderaan bermotor, sama ada buruk ataupun baru, hanya bertanggungjawab kepada separuh daripada persoalan dan alam sekitar. Separuh lagi tanggungjawab tersebut terletak dibahu kita sebagai pengguna. Sekiranya kita ingin mengurangkan kesan negatif penggunaan kenderaan bermotor terhadap alam sekitar, maka sikap perihatin terhadap cara kita menggunakan kenderaan adalah amat penting.

Selain itu kita patut mengurangkan penggunaan penyaman udara dalam kenderaan bermotor kecuali jika benar-benar diperlukan. Penggunaan alat penyaman udara boleh menghasilkan gas Klorofluorokarbon (CFC) dan menambahkan penggunaan minyak hingga 12 % terutamanya sewaktu kesesakkan lalu lintas. Penggunaan alat penyaman udara boleh digantikan dengan penggunaan ventilator udara dan membuka tingkap sewaktu memandu. Menggunakan kadbod penghalang cahaya di cermin hadapan dan belakang ketika meletakkan kenderaan bermotor ditengah panas juga boleh mengurangkan kepanasan dalam kenderaan bermotor. Dengan ini kita dapat mengurangkan penggunaan alat penyaman udara sewaktu memandu kenderaan seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Berkongsi kenderaan untuk ke pejabat atau tempat-tempat tertentu bukan sahaja menjimatkan tenaga dan wang, malahan adalah satu cara yang lebih bersih dan bijak dalam memulihara alam sekitar daripada tercemar. Selain itu, menyelesaikan seberapa banyak tugas dalam satu perjalanan juga boleh menjimatkan penggunaan minyak. Akhir sekali kita seharusnya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor bagi perjalanan jarak dekat. Penggunaan basikal, kenderaan awan ataupun berjalan kaki adalah lebih baik untuk alam sekitar disamping memberi kesan yang positif terhadap kesihatan kita.

Justeru itu, kempen Masyarakat Penyayang sepatutnya diperluaskan bagi merangkumi hubungan manusia dengan alam sekitar agar masyarakat Malaysia lebih prihatin dan bertangungjawab terhadap persekitarannya. Pengguna kenderaan haruslah menggunakan kenderaan mereka dengan bijak agar dapat memulihara kesejahteraan alam sekitar di samping mengurang dan menyelesaikan masalah berkaitan dengan sistem pengangkutan.

Pencemaran Darat

Manusia mengguna dan menyesuaikan diri dengan unsur-unsur alam semulajadi seperti hutan, bahan galian, air, udara, tanah, sumber-sumber laut dan bahan api, mengindahkannya menerusi proses-proses pengeluaran kepada bentuk barangan dan perkhidmatan .

Proses-proses pengeluaran ini berkait rapat dengan sistem ekonomi serta perkembangan dan pertumbuhannya . Sikap memandang sesuatu dari perspektif keuntungan menimbulkan sifat mengeksploitasi alam sekitar tanpa memperkirakan kepupusan sumber-sumber alam semula jadi .

Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara . Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan matawang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia . Akan tetapi eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, ternakan dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .

Umpamanya, banjir yang melanda beberapa kawasan seperti India, Bangladesh dan kawasan-kawasan Asia yang lain telah mengurangkan sumber air sungai yang bersih untuk kegunaan sehari-hari . Hasil tanaman padi, tebu dan sebagainya juga terjejas . Di sebaliknya kerajaan negara-negara tersebut terpaksa membelanjakan kira-kira RM 140 juta hingga RM 750 juta sebagai perbelanjaan banjir . Kadar pemendakan yang tinggi akibat penusnahan hutan yang tidak terkawal juga telah mengurangkan jangka penggunaan air kolam di Utara Pulau Luzon, Filipina, di kolam Air Nizamzagar, India dan lain-lain .

Beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai tragedi hitam, seperti tragedi Pos Dipang di Kampar, Perak, tanah runtuh di Genting Highlands dan beberapa lagi peristiwa yang telah mengorbankan banyak nyawa didapati berpunca daripada kealpaan manusia dalam menjaga alam sekitar , disebabkan terlalu mementingkan keuntungan melalui cara meminimumkan kos ataupun disebabkan kejahilan mereka dalam pengurusan alam sekitar .

Langkah penyelesaian
Langkah penyelesaian untuk menghadkan pembalakan di buat oleh semua kerajaan negeri dengan mematuhi kuota pembalakan yang ditetapkan dalam usaha memastikan pengurusan dan pembangunan hutan berkekalan. Pihak kerajaan negeri juga disarankan supaya menanam semula pokok sebagai langkah pemeliharan semula hutan bagi tujuan pembalakan di masa hadapan . Tabung penanaman semula hutan diwujudkan ke arah memastikan semua pihak mematuhi peraturan undang-undang .

Di bawah garis panduan yang disediakan oleh Pertubuhan Antarabangsa Balak Tropika pula menitikberatkan beberapa aspek ke arah meningkatkan kesedaran pemeliharaan hutan tropika di kalangan negara anggota . Ini termasuklah :

1. Menurunkan aktiviti dan kadar pembalakan secara sistematik dari tahun ke setahun .
2. Membentuk plan penggunaan tanah di peringkat kebangsaan bagi pemeliharaan hutan dan pengeluaran balak yang berkekalan .
3. Mempelbagaikan penggunaan sumber-sumber hutan dengan meningkatkan penggunaan kayu getah, buluh, rotan dan produk hutan lainnya .
4. Menghadkan eksport kayu balak mentah tanpa diproses .

Di samping kerajaan persekutuan, Malaysia mempunyai 13 buah negeri yang mempunyai undang-undang yang tersendiri ke atas hutan dan pemeliharaan hutan masing-masing . Dalam konteks ini, sebarang peraturan yang diwartakan diperingkat kerajaan persekutuan tidak semestinya harus dilaksanakan serentak di semua negeri . Sementara itu, terdapat beberapa peruntukan dan kelonggaran yang diberikan kepada kerajaan negeri bahawa penebangan dan pemeliharaan hutan serta balak adalah bidang kuasa kerajaan mereka . Semua ini banyak membantu ke arah ketidakcekapan dan permasalahan dalam menguruskan sumber hutan dan pembalakan di negara ini.

Sumber

Sisa Kilang Lynas Akan Dihantar Ke Luar Negara


SISA buangan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan ini akan dihantar ke luar negara apabila ia beroperasi kelak.

KUANTAN – Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn. Bhd. bersetuju untuk menghantar ke luar negara bahan buangan dari kilang memproses bahan itu yang terletak di Gebeng dekat sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Lynas telah menghantar surat jaminan kepada kerajaan sebagai mematuhi sebahagian syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika mereka menerima lesen beroperasi sementara daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) baru-baru ini.

“Walaupun kerajaan berpuas hati bahawa tidak akan ada residue (bahan buangan) radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas semasa operasi mereka, sebagai langkah tambahan setelah disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kerajaan mengarahkan Lynas memberikan jaminan dan merancang untuk menyediakan kemudahan pelupusan tetap (PDF) jauh dari penempatan awam.

“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan lokasi kemudahan pelupusan tetap tersebut, residue yang dihasilkan akan dibawa keluar dari Malaysia,” katanya ketika membaca kenyataan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di sini semalam.

Sumber

Fakta Kitar Semula



FAKTA 1

Dengan mengitar semula 1 tin aluminium anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik 3 jam televisyen

FAKTA 2

Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum anda dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok

FAKTA 3

18,000 tan sampah dihasilkan sehari mampu memenuhi KLCC dalam tempoh 8 hari sahaja (data tahun 2005)

FAKTA 5

Dengan mengitar semula 1 botol kaca anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu 100 watt selama 4 jam


Bukti Keprihatinan Kepada Alam Sekitar Dengan Melakukan Amalan Berikut Semasa Berbelanja Di Pasar:

·         Beg kain dapat digunakan berulang kali

·         Penggunaan bakul sebagai cara mengelakkan penggunaan beg plastik

·         Jangan gunakan polistren untuk membungkus makanan

·         Penggunaan troli sebagai cara mengelakkan penggunaan beg plastik

·         Gunakan beg kertas bagi menggantikan beg plastik untuk membungkus barang

·         Jangan gunakan beg plastik untuk pembungkusan

Sumber

KL Jadi Bandar Mesra Basikal

RAZALI (tiga dari kanan) dan Abdul Azim (tengah) bersedia untuk memulakan kayuhan pada Program Berbasikal Fun Ride sempena Hari Wilayah 2012 di pekarangan Kompleks Kraf Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur akan mengikut jejak langkah Putrajaya menjadi kawasan mesra basikal melalui penyediaan pelbagai kemudahan untuk penunggang basikal dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan mengenainya sedang dijalankan dengan mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan sebelum ia dilaksanakan.

"Kuala Lumpur banyak kawasan yang perlu diubah suai, tidak semua kawasan mesra basikal, takut ada kemalangan, perlu fikir pengguna trafik yang lain juga," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berbasikal Fun Ride sempena Hari Wilayah 2012 anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda UMNO di sini semalam.

Seramai 900 penunggang basikal yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu mengelilingi sekitar ibu kota dengan jarak sejauh 13 kilometer. Antara yang mengambil bahagian ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata, pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha memberi lebih ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal di dalam bandar.

Sumber

Apa Itu Teknologi Hijau


Anda mungkin mendengar teknologi hijau disebut sebagai teknologi lingkungan dan teknologi bersih.
Pada dasarnya, teknologi hijau adalah sebuah teknologi yang ramah lingkungan dan dibuat untuk digunakan sedemikian rupa sehingga melestarikan sumber daya alam dan lingkungan.

Teknologi hijau atau Teknologi Lingkungan atau teknologi bersih merupakan aplikasi dari satu atau lebih dari ilmu lingkungan, penghijauan, pemantauan lingkungan dan perangkat elektronik untuk memantau, model dan melestarikan alam lingkungan dan sumber daya, dan untuk mencegah dampak negatif dari keterlibatan manusia. Saat ini, Teknologi Hijau berada pada tahap awal perkembangannya.

Pembangunan yang berkelanjutan merupakan inti dari teknologi ini.

Istilah Teknologi lingkungan ini juga digunakan untuk menggambarkan pembagian kelas perangkat elektronik yang dapat mempromosikan pengelolaan yang berkelanjutan untuk sumber daya lingkungan.

Sumber

Budaya Inovasi Majukan Teknologi Hijau Tempatan



Oleh Dr Zaini Ujang 

SALAH satu nilai aspirasi dalam konsep 1Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah budaya inovasi. Dalam pengertian mudah, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kebaikan dan penyelesaian kreatif.

Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi masa depan menerusi gagasan 'ekonomi inovasi'. Kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru.

Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea atau gagasan sedia ada. Budaya inovasi tidak boleh hanya dikhususkan kepada ahli sains atau pakar teknologi, tetapi perlu difahami dan diamalkan seluruh lapisan masyarakat dalam segala bidang, termasuk bidang yang selama ini penuh dengan birokrasi seperti pentadbiran awam.

Justeru, dasar dan inisiatif perlu dirangka segera supaya kreativiti dan inovasi diperluaskan dimensi, amalan dan penghayatannya. Semua lapisan masyarakat perlu didedahkan supaya dapat memahami aspirasi budaya inovasi untuk memacu perubahan dan pembangunan dalam konteks mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Pada hemat saya, budaya inovasi perlu diberi keutamaan dan diserlahkan sekurang-kurangnya dalam tiga sektor utama iaitu pendidikan, pentadbiran awam dan pembangunan teknologi.

Sektor pendidikan adalah wasilah pembentukan rakyat yang memiliki sifat dan budaya hidup maju, termasuk nilai aspirasi berbudaya ilmu, inovasi, berprestasi tinggi, ketepatan, integriti, kesetiaan, ketabahan, kebijaksanaan dan sebagainya. Menerusi pendidikan, bibit dan cara hidup inovatif boleh disuburkan dengan mudah mengambil kira pelbagai aspek seperti pemikiran, pembangunan kerjaya, semangat keusahawanan dan pembangunan teknologi.

Sehubungan itu, persekitaran pembelajaran kreatif dan inovatif perlu disediakan, bermula dengan anjakan minda, khususnya di kalangan warga pendidik. Anjakan paradigma perlu dalam konteks pembangunan modal insan dan ekosistem pendidikan, malah perlu dijelmakan dalam konteks imej korporat. Sebagai nota kaki, tagline Universiti Teknologi Malaysia diberi nafas baru kepada 'Menjana minda kreatif dan inovatif' sejak awal 2009.

Pentadbiran awam juga penting untuk menyemarakkan ekosistem dan budaya inovasi sebagai simbolik terhadap komitmen dan aspirasi kerajaan. Sebenarnya, tidak sukar pentadbiran awam melakukan anjakan kepada budaya inovasi kerana sebagai pelaksana dan penghubung antara pembuat dasar dan rakyat, maka penambahbaikan adalah satu inisiatif berterusan.

Seiring perubahan zaman, maka sentiasa banyak aspek perlu ditambah nilai dan dipertingkatkan. Cadangan, teguran dan maklum balas yang sering kali dikemukakan pelbagai pihak menerusi lisan dan tulisan menjadi pemangkin memudahkan amalan dan penghayatan inisiatif serta amalan inovatif.

Dalam dunia semakin rencam dengan perubahan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi, maka pembangunan teknologi perlu dipergiatkan menerusi budaya inovasi. Negara kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi asing dalam semua bidang. Ketika ini negara rantau Asia, khususnya China, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan, semakin memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi tempatan.

Untuk itu penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ekosistem lebih inovatif menjadi keutamaan. Korea Selatan sebagai contoh dalam proses merealisasikan dasar memperuntukkan lima peratus kepada R&D daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala Malaysia menetapkan 1.5 peratus pada 2010.

Salah satu strategi Malaysia dalam R&D ialah pembangunan dan inovasi teknologi hijau sebagai wasilah untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana, holistik dan bersepadu. Selain memanfaatkan sektor perkhidmatan tempatan seperti tenaga, air, kebersihan awam dan alam sekitar, teknologi hijau juga dijangka menjadi 'teknologi lestari masa depan' untuk keperluan global yang semakin tercemar dan penghakisan sumber.

Perlu juga dijelaskan bahawa 'kehijauan' teknologi hijau tidak boleh diukur semata-mata menerusi inovasi komponen kitar semula, penggunaan sumber daripada bahan buangan atau pengurangan penggunaan bahan api fosil. Kadang-kala, jenama hijau digunakan sewenang-wenangnya kerana wujud beberapa aspek hijau seperti kitar semula tetapi hakikatnya tidak lestari dan inovatif daripada perspektif holistik.

Kesan kepada alam sekitar tidak jauh bezanya dengan produk biasa, dan sudah pasti kurang kompetitif dalam pasaran global.

Demikian juga beberapa aspek budaya inovasi selaras dengan gagasan 1Malaysia dan ekonomi inovasi. Nilai tinggi dalam pendidikan dan pentadbiran awam perlu dimantapkan dan diutamakan. Justeru budaya inovasi perlu difahami dan dihayati. Ekosistem inovasi perlu disemarakkan dalam seluruh aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Sumber

L untuk Lestari!!!

SALAM......
Memandangkan kami mengambil subjek Pendidikan Pembangunan Lestari,
maka lebih eloklah jika kami memartabatkan lagi kelestarian alam ni...
melalui subjek ni lah kesedaran kami bertambah terhadap kepentingan mengekalkan 
keindahan sumber alam semula jadi....

menurut Kamus Dewan Edisi ke-4,
Lestari bermaksud Kekal, tetap dan tidak berubah-ubah....
maksudnya di sini...kekalkan sumber alam semula tanpa memberi kesan negatif 
terhadap alam sekitar...
sebab tulah cogan kata kami ialah..
L bukan untuk Lemah...
L untuk Lestari....

L bukan untuk Lemah...

L untuk Lestari

jom kekalkan kelestarian alam semula jadi kita dengan...
1) Jimatkan tenaga elektrik
let's practice Earth Hour every year...

2) Jimatkan penggunaan air

3) Berbasikal ke sekolah

4) Berjalan kaki ke sekolah

5) Amalkan kitar semula

6) Program tanam semula
sorila model seksi ckit...hihi:)

7) Jangan merokok/Hentikan tabiat ini!!

heheh..7 jak la dulu ya....amalkanlah ni...
 

Siapa Kami?

Kami adalah pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau Malaysia.

Statistik Pengunjung

Mixing

Hubungi Kami

Sebarang pertanyaan sila hubungi kami melalui:

Email: gegarks@gmail.com

Telefon:

Hakcipta © 2012 Gegar KS Lestari . Semua Hakcipta Terpelihara.
Blog PISMP PS JAN'11